
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah syarikat asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, seramai 12 saksi daripada pelbagai agensi kerajaan telah dirakam keterangan mereka termasuk bekas menteri berkenaan.
Beliau berkata, pegawai lain yang memberi keterangan termasuk pegawai tertinggi dari Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
“Saya tidak mahu menyebut nama tetapi seorang bekas menteri telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Azam berkata, siasatan itu dilancarkan selepas satu aduan difailkan yang membabitkan projek antara kerajaan Malaysia dan syarikat UK, Arm Holdings.
“Kami giat meneliti sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa, penipuan atau isu tadbir urus dalam projek tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi menuduh SPRM menjalankan siasatan yang bermotifkan politik terhadapnya.
Ahli Parlimen PKR itu berkata, dakwaan terhadapnya berkaitan dua dasar utama kerajaan iaitu Program Wawasan Silikon dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang telah melalui pelbagai lapisan kelulusan kerajaan termasuk sokongan Jemaah Menteri.
Program Wawasan Silikon membabitkan kerjasama antara kerajaan dan Arm Holdings bagi menghasilkan cip semikonduktor pertama negara, manakala NETR menggariskan sasaran peralihan tenaga negara sehingga 2050 serta membabitkan pelaburan besar dalam industri hijau.





