
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan nasihat perjalanan yang masih berkuat kuasa.
Kementerian Luar melalui Wisma Putra berkata, pihaknya sedang memantau rapi situasi keselamatan di Timur Tengah serta bekerjasama dengan perwakilan diplomatik Malaysia di negara terjejas.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia tetap menjadi keutamaan kementerian,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Wisma Putra menambah, UAE membuka ruang udara selamat serta Malaysia Aviation Group menyediakan penerbangan sementara ke Jeddah dan Madinah serta dari dua destinasi terbabit pada 4 hingga 8 Mac.
Misi diplomatik Malaysia di UAE pula terus berhubung dengan pihak berkuasa dan membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan.
“Susulan pengumuman mengenai ruang udara selamat, pasukan kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan operasi untuk mendapatkan penjelasan tentang butiran pelaksanaannya serta memudah cara aturan perjalanan seterusnya mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Wisma Putra, misi diplomatik Malaysia di Timur Tengah memantau dan membantu rakyat Malaysia terjejas termasuk jemaah umrah, pelajar dan mereka dalam transit dengan mengemas kini rekod melalui sistem e-Konsular.
Rakyat Malaysia yang belum berbuat demikian digalakkan mendaftar keberadaan mereka melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan konsular digalakkan untuk menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia berdekatan manakala Bilik Gerakan kementerian di Putrajaya yang beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.







