
KUALA LUMPUR: Lebih 2.85 juta individu berusia lima hingga 19 tahun di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti tahun lalu, menurut laporan terbaharu Persekutuan Obesiti Dunia melalui Atlas Persekutuan Obesiti Dunia 2026 sempena Hari Obesiti Sedunia, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 866,000 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun mengalami obesiti manakala baki 1.9 juta adalah kanak-kanak dan remaja berumur 10 hingga 19 tahun.
Laporan itu menjangkakan menjelang 2040, jumlah kanak-kanak sekolah yang berlebihan berat badan di Malaysia berkemungkinan melepasi 3.1 juta orang.
Lebih membimbangkan, seramai 305,000 kanak-kanak dijangka menunjukkan tanda awal hipertensi, manakala 382,000 lagi berisiko mengalami penyakit kardiovaskular akibat obesiti.
Persekutuan itu turut memberi amaran dunia berkemungkinan gagal mencapai sasaran global 2025 untuk menghentikan peningkatan obesiti kanak-kanak. Walaupun sasaran dilanjutkan ke 2030, kebanyakan negara masih ketinggalan.
Secara global, seramai 507 juta kanak-kanak dijangka hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2040 jika trend semasa berterusan.
Malaysia berada di kedudukan ke-87 daripada 196 negara yang dinilai, manakala dalam konteks ASEAN, negara ini termasuk dalam kelompok negara dengan beban obesiti kanak-kanak yang signifikan.
Laporan itu mengunjurkan rantau Asia Tenggara bakal mencatat kadar peningkatan tertinggi dunia bagi kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun yang hidup dengan obesiti, iaitu mencecah 40 juta orang menjelang 2040.
Secara keseluruhan, prevalens kanak-kanak dengan Indeks Jisim Badan (BMI) tinggi di rantau ini dijangka mencapai 101 juta menjelang tempoh sama.
Walaupun sebelum ini obesiti sering dikaitkan dengan negara berpendapatan tinggi, laporan berkenaan mendapati peningkatan kini berlaku lebih pantas di negara berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk di Asia Tenggara.
Tindakan menangani obesiti kanak-kanak masih tidak mencukupi, merangkumi aspek pencegahan, pemantauan, saringan, dan pengurusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Obesiti Dunia, Johanna Ralston berkata, peningkatan obesiti kanak-kanak global membuktikan isu ini tidak ditangani secara serius.
Beliau menekankan kerajaan perlu memperkukuh usaha pencegahan dan pengurusan serta memastikan kanak-kanak menerima rawatan sewajarnya.
“Pelaksanaan dasar tegas termasuk cukai minuman bergula, sekatan pemasaran makanan tidak sihat kepada kanak-kanak, perluasan akses aktiviti fizikal, perlindungan penyusuan ibu, piawaian makanan sekolah yang lebih sihat, serta integrasi pencegahan dan rawatan dalam sistem penjagaan kesihatan primer adalah amat penting.
“Tiada alasan untuk menangguhkan langkah berkesan kerana kegagalan bertindak boleh menghukum satu generasi dengan obesiti dan penyakit tidak berjangkit kronik yang boleh membawa maut,” katanya.





