
PUTRAJAYA : Isu pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang mengaitkan kepimpinan tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini memasuki fasa penting apabila kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan keputusan lanjut.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, memaklumkan bahawa pihaknya turut mencadangkan pertuduhan terhadap Ketua Pengarah JAS, timbalannya serta seorang bekas pegawai kanan jabatan berkenaan.
Menurut beliau, dokumen lengkap siasatan telah diserahkan dan kini berada di peringkat kajian oleh Timbalan Pendakwa Raya.
“Keputusan berhubung cadangan pertuduhan berkaitan kes itu dijangka diketahui dalam tempoh seminggu, sama ada mereka akan dituduh atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Pada 6 Februari lalu, media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya yang sebelum ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, telah dibebaskan dengan jaminan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, memaklumkan kedua-dua pegawai berkenaan dilepaskan selepas keterangan mereka selesai dirakam sepanjang tempoh reman.
Sebelum itu, kedua-duanya ditahan SPRM pada 29 Januari selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Perintah reman bermula 30 Januari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.
Siasatan berkenaan tertumpu kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang dikaitkan dengan pengurusan sisa elektronik, yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.





