
KUALA LUMPUR: PROTON terus menunjukkan prestasi positif pada bulan kedua 2026 walaupun keadaan pasaran automotif lebih perlahan susulan tempoh perayaan pertengahan bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, pengeluar automotif itu berkata, sebanyak 13,566 unit kenderaan dicatatkan pada Februari walaupun jumlah tersebut susut 31 peratus berbanding Januari 2026 tetapi meningkat 20.8 peratus berbanding Februari tahun lalu.
“Secara keseluruhan, jualan bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 33,399 unit meningkat 57.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan menurun 17.6 peratus kepada 52,996 unit berikutan tempoh perayaan pada pertengahan Februari yang menjejaskan aktiviti pendaftaran kenderaan,”kata kenyataan itu.
Berikutan itu, katanya, pegangan pasaran PROTON bagi Februari dianggarkan sekitar 25.6 peratus manakala pegangan pasaran tahun ke tarikh (YTD) kini berada pada 28.5 peratus.
Ujarnya lagi, dalam tempoh lima bulan, PROTON telah melancarkan lima model meliputi kenderaan elektrik (EV), kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV).

“Pengenalan model terbabit menyumbang secara langsung kepada peningkatan jumlah jualan dan menjadi pemacu utama prestasi kukuh pada awal 2026.
“Proton Saga kekal sebagai model paling laris. Selepas mencatat jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya pada Januari, sebanyak 6,047 unit didaftarkan lagi pada Februari.
“Ini menjadikan jumlah jualan Saga setakat tahun ini sebanyak 16,332 unit, meningkat 69.8 peratus berbanding tahun lalu dan sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di Malaysia,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Proton X50 yang diperkenalkan dalam versi terkini pada Julai 2025 terus mencatat prestasi stabil.
Katanya, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B itu merekodkan 1,842 unit pada Februari, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini sebanyak 4,271 unit, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun lalu.
“Proton S70 2026 turut menunjukkan peningkatan ketara dengan 1,940 unit dicatatkan pada Februari, menjadikan jumlah jualan setakat tahun ini sebanyak 3,544 unit, meningkat 51.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Model tersebut merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah jualan PROTON bagi bulan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Datuk Ir Abdul Rashid Musa, berkata PROTON memulakan 2026 dengan prestasi yang kukuh hasil permintaan berterusan terhadap barisan model baharu.
Beliau berkata, pada masa sama, usaha menambah baik pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis terus menjadi keutamaan.
“Dalam tempoh terdekat, fokus kami adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti produk.
“Pelaburan yang dibuat di Tanjong Malim memberi keyakinan kepada kami untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya.







