
KUALA LUMPUR: Seramai 2,257 pengarah syarikat dihalang meninggalkan negara kerana gagal membayar caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang Januari hingga Disember 2025.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, tindakan itu dibuat dengan penyerahan nama kepada Jabatan Imigresen di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991, menjadikan 14,332 pengarah telah disenarai halang sehingga Disember lalu.
Beliau berkata pada tahun sama, KWSP turut memfailkan 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap majikan yang gagal mencarum.
“Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP.
“Majikan yang gagal memenuhi kewajipan yang ditetapkan untuk membayar caruman KWSP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazaliza berkata, pasukan penguatkuasaan KWSP sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar tepat pada masanya.
“Pembayaran caruman yang teratur pada masanya penting bukan sahaja untuk melindungi hak pekerja malah bagi memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas yang kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang
“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, KWSP juga telah menyelesaikan sebanyak 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan yang dibuat pekerja, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan, majikan yang gagal memenuhi kewajipan ditetapkan boleh dikenakan tindakan tegas.
Katanya, melindungi simpanan persaraan ahli terus menjadi keutamaan KWSP.
“Ahli digesa untuk sentiasa menyemak akaun KWSP mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman majikan dikreditkan tepat pada masanya.
“Selain itu, majikan turut digalakkan menggunakan i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka,” ujarnya.






