
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan langkah mitigasi bagi memastikan operasi pelabuhan negara tidak terjejas susulan konflik Amerika Syarikat–Israel dengan Iran yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu dibincangkan bersama pengurusan pelabuhan, syarikat perkapalan dan pihak berkuasa maritim bagi merangka tindakan segera menghadapi kemungkinan gangguan rantaian logistik global.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, krisis sedemikian sering menyebabkan kesesakan pelabuhan di negara kita kerana kontena ke kawasan konflik akan dibiarkan oleh syarikat perkapalan sekali gus menjejaskan operasi harian import dan eksport, seterusnya kilang-kilang kita,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan perkapalan minyak paling penting di dunia, dengan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global melalui laluan sempit itu setiap hari.
Anthony berkata antara langkah awal ialah mempermudah pemindahan kontena kosong bagi mengelakkan kesesakan di pelabuhan, selain memperketat pemeriksaan supaya kontena dengan destinasi tidak jelas tidak diturunkan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan juga sedang meneliti mekanisme bagi menangani peningkatan kos bahan api pelabuhan ketika krisis serta membantu kapal Malaysia yang terkandas di Asia Barat akibat risiko serangan.
“Dalam menghadapi krisis nasional, semua pemegang taruh mesti bekerjasama dan saling membantu untuk melindungi kepentingan negara,” katanya.







