
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memerintahkan kerajaan menyelaraskan pencen bekas penjawat awam mengikut Pekeliling Perkhidmatan 2016.
Keputusan itu sekali gus membebaskan kerajaan daripada kewajipan membayar tunggakan kira-kira RM1.7 bilion kepada lebih setengah juta pesara.
Hakim Azhahari Kamal Ramli, yang membacakan keputusan sebulat suara panel tiga hakim, menjelaskan bahawa isu berkenaan sebenarnya telah pun diputuskan oleh Mahkamah Rayuan melalui penghakiman pada tahun 2022.
Sehubungan itu, beliau berkata semakan kehakiman yang difailkan oleh Aminah Ahmad bersama 56 pesara penjawat awam lain selaku responden dalam rayuan berkenaan adalah res judicata dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Namun, panel yang dipengerusikan oleh Hakim Lim Chong Fong serta turut dianggotai Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid menegaskan bahawa keputusan tersebut hanya terpakai kepada 57 responden yang terlibat dalam kes berkenaan.
Dalam keputusan pada 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan pindaan yang dibuat terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 pada 2013 yang memperuntukkan kenaikan tahunan tetap sebanyak dua peratus kepada pesara.
Mahkamah turut memutuskan pindaan 2013 itu tidak berperlembagaan kerana meletakkan pesara perkhidmatan awam dalam kedudukan kurang memihak sekali gus bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan responden sekali gus membawa kepada rayuan semasa.
Bagaimanapun, perintah itu digantung sementara menunggu pelupusan rayuan berkenaan.
Dalam hujahan sebelum ini, kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berhujah pesara tidak berhak menerima pelarasan pencen kerana Pekeliling Perkhidmatan PP 1/2016 hanyalah satu “penambahbaikan” skim perkhidmatan awam dan bukan semakan gaji.
Dalam keputusan hari ini, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujahan kerajaan, dengan menyatakan Aminah juga gagal membuktikan beliau mengalami kerugian akibat pindaan 2013 serta tidak memfailkan rayuan terhadap perkara itu sebelum ini.
Dengan keputusan hari ini, kerajaan tidak lagi terikat untuk melaksanakan pelarasan pencen berkenaan.
Peguam Baljit Singh Sidhu, yang mewakili responden bersama Gurpreet Kaur Pannu, berkata beliau menerima arahan untuk memohon kebenaran merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Sementara Peguam Persekutuan Sallehuddin Ali mewakili kerajaan.






