
KUALA LUMPUR: Seorang pelakon wanita dan suaminya direman polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata pasangan suami isteri itu masing-masing direman bermula hari ini.
“Suspek lelaki direman tiga hari hingga Rabu ini manakala wanita itu direman sehari untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Pasangan terbabit sebelum ini pernah ditahan polis berhubung kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia yang melibatkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.
Selain itu, mereka turut disiasat bagi kes penipuan darjah kebesaran dengan kerugian dianggarkan RM23,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata kedua-dua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan kes terbaharu itu.
Sebelum ini, pelakon wanita berkenaan ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari, Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kes penipuan tanah tersebut pada 18 Disember tahun lalu.
Laporan itu dibuat seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun yang mendakwa ditipu dalam urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor dengan kerugian mencecah RM1.5 juta.
Selain itu, seorang usahawan produk kecantikan turut mendakwa menjadi mangsa penipuan pelakon wanita terbabit bersama suaminya dengan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Kesemua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen yang berkaitan dengan penipuan di bawah Akta Jenayah Komersial.






