
SEPANG: Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menumpaskan cubaan penyeludupan dadah dan menyita pelbagai mata wang asing dengan nilai keseluruhan RM3.26 juta dalam tiga kes berasingan pada Januari dan Februari lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad, berkata kes pertama membabitkan seorang lelaki warga Tanzania berusia lingkungan 50-an yang ditahan pada 29 Januari di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki mengedar dadah menggunakan kaedah ‘body packer’.
“Hasil pemeriksaan imbasan badan menemui objek mencurigakan di abdomen suspek. Setelah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, sebanyak 101 kapsul berbalut plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki kokain dikeluarkan daripada badan suspek.
“Jumlah rampasan dianggarkan 1,629.20 gram bernilai kira-kira RM733,140,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini dituduh di mahkamah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Dalam kes kedua pada 6 Februari, Zulkifli memberitahu, seorang warga Bangladesh ditahan di Terminal 1 kerana membawa masuk mata wang asing tanpa pengisytiharan.
“Pemeriksaan bagasi menemui wang tunai dalam pelbagai mata wang seperti Saudi Riyal, euro dan pound sterling yang disembunyikan dalam pelapik lipatan kemeja.
“Pengembara gagal mengisytiharkan amaun tunai tersebut mengikut Borang Kastam 7, melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM2.41 juta.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Bagi kes ketiga pula, beliau menambah, ia berlaku pada 10 Februari apabila seorang warga Indonesia ditahan di Terminal 2 KLIA kerana cuba membawa keluar mata wang ringgit tanpa pengisytiharan dan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, pemeriksaan menemui wang tunai RM120,100 yang disembunyikan dalam bagasi suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dengan hukuman sama seperti kes kedua jika disabitkan.
Zulkifli menegaskan Kastam akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan di semua pintu masuk antarabangsa bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan mata wang, serta memastikan pematuhan undang-undang negara.






