
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan mengalami kelewatan susulan gangguan bekalan kuasa yang berlaku antara Stesen Awan Besar dan Stesen Sri Petaling, hari ini.
Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan tersebut menyebabkan penumpang terpaksa menunggu lebih lama di platform, khususnya melibatkan laluan antara Stesen Bandar Tasik Selatan hingga ke Stesen Awan Besar.
Menurut kenyataan itu, bagi mengurangkan kesan kepada pengguna, pihaknya mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif serta menyediakan bas perantara ulang-alik percuma di laluan terjejas.
“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi menghubungkan stesen-stesen yang terjejas,” katanya.
Bagi tren alternatif, tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Kinrara BK5 dengan kekerapan kira-kira setiap tujuh minit, manakala tren dari Stesen Sentul Timur pula berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan anggaran kekerapan 10 minit.
Selain itu, tren perantara ulang-alik turut disediakan antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar serta antara Stesen Kinrara BK5 dan Stesen Awan Besar dengan kekerapan sekitar 15 minit.
Dalam masa sama, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan melibatkan laluan Stesen Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Bukit Jalil dan Sri Petaling dengan anggaran kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.
Rapid Rail memaklumkan pasukan kejuruteraan kini berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan operasi dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.
Bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform serta ruang legar stesen terlibat.
Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren juga dilakukan bagi memaklumkan perkembangan semasa kepada pengguna.
Sehubungan itu, penumpang disarankan mempertimbangkan penggunaan pengangkutan alternatif serta merujuk saluran rasmi media sosial Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini.







