
KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw lelaki kebangsaan menerima ‘durian runtuh’ iaitu ganjaran keseluruhan bernilai RM160,000 susulan kejayaan gemilang merangkul satu pingat emas dan satu perak pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Habuan lumayan berkenaan diagihkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kepada 12 pemain dan dua jurulatih Golden Tigers, selain jongkong emas serta baucar beli-belah daripada rakan strategik, Telekom Malaysia (TM Group).
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata badan induk itu tidak mahu bergantung semata-mata kepada skim ganjaran kerajaan, sebaliknya mengambil inisiatif mengumpul dana sendiri bagi menghargai pengorbanan barisan pemain pada temasya empat tahun sekali itu.
“Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah sukan sepak takraw Malaysia memberikan penghargaan kepada pemain dalam satu jumlah yang agak besar juga.
“Walaupun kita tahu di peringkat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) ataupun MSN (Majlis Sukan Negara) ada memberikan ganjaran dan insentif mengikut SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) tapi tanggungjawab saya dan semua jawatankuasa di PSM memutuskan kita pun kena ambil inisiatif juga. Walaupun tak banyak, tapi kita beri kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan di ibu negara di sini, malam tadi, yang turut dihadiri antaranya Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Nur Azmi Ahmad, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr P Vellapandian.
Mohd Sumali berkata jumlah peruntukan berkenaan dibuat mengikut kemampuan semasa persatuan dan tidak menolak kemungkinan nilainya bertambah pada masa hadapan.
Sementara itu, tekong utama negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi menyifatkan insentif berkenaan sebagai rezeki luar jangkaan memandangkan pihak persatuan tidak mempunyai kewajipan rasmi untuk menyediakan habuan tunai.
“Mungkin seorang dapat dalam RM10,000 jika dibahagi. Lepas ini kami akan dapat lagi insentif untuk SHAKAM dan belum tahu lagi dia punya total. Kami sebagai pemain bersyukur dan bangga bila dapat daripada PSM, TM,” katanya.
Pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada aksi final, selain meraih pingat perak acara regu lelaki selepas tewas 0-2 kepada lawan sama. – BERNAMA







