
KULAI: Pelaksanaan penggunaan media sosial bagi had umur 16 tahun dijangka dikuatkuasakan seawal Julai ini, sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkara itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh.
Beliau berkata, pelaksanaan itu selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
“Buat masa ini, ia masih berada di peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform. Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini.
“Seperti diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka pelaksanaan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, iaitu suku ketiga atau keempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini, hari ini.
Menurut Nie Ching, kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.





