
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membawa isu dakwaan penyerahan 5,207 hektar tanah Malaysia kepada Indonesia untuk dibahaskan di Parlimen kerana melibatkan kedaulatan negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, meskipun dakwaan tersebut telah dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu berkenaan wajar dibincangkan secara terbuka sebagai langkah semak dan imbang.
“Isu ini perlu dijelaskan. Apa sebenarnya yang berlaku? Perkara yang melibatkan kedaulatan negara seharusnya dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan.
“Sekiranya tidak dibawa ke sidang Parlimen, ia boleh dibincangkan dalam jawatankuasa pilihan khas Parlimen. Jika sesuai, kita setuju, jika tidak, boleh ditangguhkan atau ditolak. Inilah proses semak dan imbang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian pada sidang media, di sini hari ini.
Pada 24 Januari lalu, Anwar menafikan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik bagi mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung berkenaan yang dilaporkan terkesan susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Sebelum ini, media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, iaitu Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas, didakwa kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan perubahan garisan sempadan antara kedua-dua negara.





