
KUALA LUMPUR: Bangunan Parlimen kini dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) moden dan berteknologi tinggi bernilai RM5.2 juta bagi memperkukuh tahap keselamatan kompleks berkenaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang siap dalam tempoh 12 bulan itu merangkumi pemasangan kamera baharu di kawasan sekitar blok serta penambahan kamera di dewan serbaguna, kediaman rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara, termasuk Taska Parlimen.
“Matlamat utama projek ini adalah memperkasakan sistem keselamatan Bangunan Parlimen dengan teknologi terkini bertaraf dunia termasuk integrasi ciri pintar dalam sistem CCTV lengkap dengan fungsi analitik.
“Ia sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk menyediakan infrastruktur pintar yang responsif dan efisien,” katanya pada sidang media majlis penyerahan projek tersebut hari ini.
Nanta berkata, kerja baik pulih sistem persidangan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat disiapkan dalam tempoh 16 bulan melibatkan kos RM16.6 juta.
Beliau berkata, objektif utama projek itu adalah bagi menyediakan sistem sandaran untuk memastikan sesi persidangan tidak terganggu sekiranya sistem utama mengalami kegagalan.
Katanya, meskipun melibatkan pemodenan teknologi, elemen konservasi tetap dikekalkan memandangkan status Bangunan Parlimen sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dengan mengambil kira pematuhan Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pula berkata, dewan persidangan yang dinaik taraf kini berfungsi sebagai sistem sokongan sekiranya berlaku sebarang gangguan di dewan utama.
Katanya, ruang itu juga telah diubah suai bagi memenuhi dua fungsi penting iaitu sebagai lokasi persidangan Parlimen Belia yang dijadualkan bermula Mei depan serta penempatan baharu bagi Kamar Khas yang sebelum ini bersidang dalam keadaan agak sempit.






