
KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong penuh langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen petrol.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata, usaha tersebut merupakan satu langkah penting memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan Kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.
“MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.
“Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, penyaluran subsidi tanpa kawalan berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak serta beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.
Katanya, langkah itu juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.
“Sebagai badan penasihat utama kepada Kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
“MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat serta negara,” katanya.





