
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi meminta siasatan kes serangan terhadap anaknya dihentikan sekiranya tiada sebarang perkembangan positif.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, meskipun masih memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan, tempoh yang berlalu sejak kejadian berkenaan pada Ogos tahun lalu disifatkan agak panjang tanpa sebarang maklum balas rasmi diterima.
Menurut Rafizi, beliau tidak mahu membuang masa anggota polis bawahan yang sekadar melaksanakan arahan sekiranya siasatan berkenaan tidak menunjukkan sebarang kemajuan dan boleh diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Saya tunggu lagi. Jika siasatan dirasakan tidak ke mana, saya sendiri akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes ini ditutup,” katanya menerusi hantaran dalam aplikasi X.
Rafizi berkata, sejak kejadian itu, beliau tidak menerima sebarang perkembangan rasmi atau tidak rasmi mengenai siasatan kes berkenaan, sebaliknya hanya mengetahui maklumat melalui laporan media sehingga pertemuannya dengan Saifuddin pada awal Disember tahun lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat baru-baru ini yang mengesahkan pertemuan mereka pada 1 Disember serta perkongsian maklumat berkaitan arah siasatan kes itu, meskipun tidak dapat didedahkan secara terbuka.
Terdahulu, Saifuddin dalam jawapan bertulis memaklumkan pendedahan maklumat tertentu berkaitan dalang serangan terhadap anak Rafizi tidak dapat dibuat secara terbuka kerana boleh menjejaskan siasatan, mengganggu usaha menjejaki suspek serta membahayakan keselamatan saksi utama.
Anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kenderaan isteri beliau menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku.






