
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil seramai 20,000 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG9 pada tahun ini bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di sekolah seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd. Azam Ahmad berkata, pengambilan tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan awal kementerian menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 serta kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun depan.
Katanya, proses pengambilan guru baharu itu akan dilaksanakan dengan kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan keperluan sekolah dapat dipenuhi secara terancang.
“Pembukaan permohonan akan bermula dari 2 hingga 20 Mac ini, manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan berlangsung antara 27 April hingga 14 Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azam menambah, calon yang terpilih diwajibkan mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM merangkumi pelbagai bidang pengkhususan sebelum ditempatkan di sekolah.
Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara demi memastikan kebajikan serta kualiti pembelajaran murid terus terjamin.
Sebelum ini, wujud kebimbangan beberapa pihak bahawa kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela akan menyebabkan kekurangan guru dan bilik darjah, termasuk gesaan supaya pelaksanaan dasar itu ditangguhkan.
Namun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini memberi jaminan bahawa kapasiti sekolah, kemudahan sedia ada serta bilangan guru adalah mencukupi bagi menampung pertambahan murid apabila dasar berkenaan dilaksanakan.






