
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam, Mahajoth Singh untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar dua arahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan anak guamnya, ahli perniagaan Albert Tei.
Hakim Alice Yoke Yee Ching dalam keputusannya memutuskan perkara yang melibatkan proses penyiasatan oleh pihak penguat kuasa tidak tertakluk kepada semakan kehakiman sekali gus menolak permohonan berkenaan.
Mahkamah turut mendapati dakwaan SPRM bertindak dengan niat jahat melalui pengeluaran notis yang didakwa bercanggah dengan undang-undang gagal dibuktikan oleh pihak pemohon.
“Berdasarkan alasan-alasan tersebut, mahkamah mendapati tiada hujah kukuh untuk memberikan kebenaran seperti yang dipohon.
“Oleh itu, permohonan ini ditolak tanpa sebarang perintah kos,” kata hakim berkenaan.
Terdahulu, Mahajoth memohon perintah certiorari untuk membatalkan dua notis bertarikh 29 dan 30 November 2025 yang mengkehendakinya hadir memberi keterangan serta mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan (b) Akta SPRM.
Beliau mendakwa menerima arahan berkenaan selepas Albert ditahan SPRM pada 28 November lalu dan dibawa ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya tanpa penjelasan munasabah.
Antara barangan dan dokumen yang diminta SPRM termasuk telefon bimbit Tei, dokumen berkaitan pembelian perabot dan pakaian, sebuah kamera serta salinan perbualan WhatsApp antara Tei dengan beberapa individu.
Dalam prosiding itu, SPRM diwakili Peguam Persekutuan, V. Krishna Priya manakala Mahajoth diwakili peguam N. Surendran dan Rajesh Nagarajan.






