
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah serta seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Dalam kes sama, seorang orang awam turut direman selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Perintah reman terhadap kesemua suspek dibenarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Keempat-empat suspek terbabit sebelum itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya sekitar jam 9 pagi bagi prosiding reman, selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka dilihat berpakaian lokap berwarna oren dan digari dengan kawalan ketat pegawai SPRM.
Semalam, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS ditahan kira-kira jam 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, siasatan tertumpu kepada dakwaan salah guna kuasa dan amalan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Penahanan tersebut disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang memaklumkan kes disiasat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009.







