
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan sebanyak 1,399 projek perumahan swasta melibatkan 167,423 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM133.78 bilion sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 1/2023.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, 109 projek berjaya dipulihkan daripada status “sakit” kepada “lancar” manakala 1,265 projek “sakit” disiapkan sepenuhnya hingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan.
Beliau berkata, 34 projek perumahan terbengkalai turut berjaya dipulihkan sama ada melalui penyiapan fizikal projek atau melalui penyelesaian melibatkan pembeli.
“Hingga 31 Disember lepas, 161 projek perumahan swasta berstatus “lewat”, 349 projek berstatus “sakit” dan 99 projek berstatus “terbengkalai” direkodkan di seluruh negara dan masih berada dalam kawalan hasil pemantauan berterusan dan pelaksanaan intervensi bersasar melalui platform TFST.
“Dalam perkembangan memberangsangkan ini, jumlah projek terbengkalai menunjukkan penurunan daripada 102 projek kepada 99 projek sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama erat antara TFST dan pihak berkepentingan dalam memulihkan projek perumahan demi kepentingan pembeli dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan Pasca-Mesyuarat TFST Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.
Beliau berkata, TFST akan terus berfungsi sebagai platform utama dalam menangani isu projek perumahan swasta bermasalah dengan cadangan penyelesaian yang praktikal, berkesan dan memberi impak nyata.
Selain itu, Aiman Athirah berkata, ia juga selaras dengan komitmen KPKT untuk mengurangkan bilangan projek bermasalah secara berperingkat dan mencapai sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.






