
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan lapan perkhidmatan tren elektrik tambahan (ETS) sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri bagi memenuhi keperluan perjalanan orang ramai.
KTMB memaklumkan sebanyak 26,460 tiket ETS tambahan telah mula dijual sejak 24 Januari lepas sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bagi perkhidmatan tambahan yang merangkumi laluan KL Sentral, Ipoh, Butterworth dan JB Sentral.
“KTMB turut memperkenalkan perkhidmatan Electric Multiple Unit Plus(EMU+) pada 13 hingga 15 Februari dan 20 hingga 22 Februari ini bagi laluan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, dengan kapasiti 1,200 penumpang sehari melalui empat perjalanan harian sepanjang tempoh operasi dan tiket bagi perkhidmatan itu telah habis dijual,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut KTMB, untuk Aidilfitri, sebanyak 36,540 tiket tambahan akan ditawarkan mulai 1 Mac, 12 tengah hari melibatkan tempoh perjalanan 13 hingga 29 Mac, 16 hingga 20 Mac dan 23 hingga 29 Mac dengan laluan serta waktu berlepas yang sama.
Pertambahan tiket ETS dan EMU+ menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 70,200 tiket, dengan jumlah perjalanan perkhidmatan meningkat hingga 56 trip sehari.
“Langkah ini diambil bagi menampung peningkatan permintaan penumpang, sekali gus memberi lebih banyak pilihan perjalanan yang selesa, selamat dan menepati kehendak pengguna,” katanya.





