
PEKAN: Seramai 800 pelajar dan pesakit kronik golongan asnaf di daerah ini menerima sumbangan zakat bernilai RM300,000 hasil inisiatif tanggungjawab sosial pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin berkata, program tersebut merupakan kali ketiga dianjurkan di daerah berkenaan dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun hadapan.
“Sumbangan zakat kali ini dianggarkan berjumlah RM230,000 manakala RM60,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan makanan dan minuman menjadikan keseluruhan anggaran sekitar RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian zakat kepada pesakit kronik dan pelajar asnaf daerah Pekan, Pahang hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohd Puzi Sh Ali dan Pegawai Daerah Pekan, Azora Ahmad Shamsudin.
Selain itu, Ibrahim berhasrat membawa golongan asnaf di Pekan menunaikan ibadah umrah secara percuma pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Sh Mohd Puzi menzahirkan penghargaan kepada Andalusia sekali gus membolehkan penerima zakat berkenaan membuat persiapan menunaikan ibadah puasa yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Sumbangan ini turut membantu golongan asnaf yang menghidap penyakit kronik, dengan bantuan RM500 yang diterima digunakan bagi membeli ubat-ubatan serta menampung keperluan asas sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Azora berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf yang sememangnya memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Andalusia dan pihak terlibat dalam menjayakan program berkenaan serta berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada setiap tahun.







