
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya menjadikan kebangkitan bersejarah menentang Vietnam pada 2014 sebagai sumber inspirasi ketika mereka berusaha mengatasi defisit 2-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala ASEAN 2026 di Stadium My Dinh, Hanoi, esok.
Ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe percaya kemenangan menakjubkan 4-2, 12 tahun lepas dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh boleh menjadi motivasi buat anak buahnya ketika mereka cuba menghasilkan satu lagi kebangkitan luar biasa menentang juara bertahan.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 58 tahun itu mengakui bahawa situasi kini berbeza, dengan kedua-dua pasukan telah mengalami perubahan besar sejak pertemuan pada 2014.
“Ya, berkenaan keputusan pada 2014 di bawah kendalian jurulatih Datuk Dollah Salleh, beliau mencatatkan keputusan yang hebat. Beliau mengubah keadaan. Pada perlawanan pertama, Malaysia tewas 2-1, namun apabila datang ke sini (Hanoi), mereka menewaskan Vietnam 4-2, satu keputusan yang sangat baik.
“Sudah tentu, keputusan itu benar-benar memberikan kami keyakinan. Namun selepas 12 tahun, pemain dan jurulatih silih berganti tetapi kami tetap mahu menjadikan detik itu sebagai satu dorongan,” katanya pada sidang media praperlawanan di Hanoi.
Aksi separuh akhir 2014 kekal sebagai antara keputusan paling diingati Malaysia ketika menentang Vietnam, dengan kemenangan agregat 5-4 membolehkan skuad negara mara ke final sebelum tewas kepada Thailand menerusi agregat 3-4.
Kali ini, tugas Malaysia menjadi lebih sukar selepas Vietnam memperoleh kelebihan 2-0 pada aksi pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras Ahad lepas.
Nguyen Xuan Son meledak jaringan pada minit kelima masa kecederaan babak pertama sebelum Muhammad Faris Danish Asrul menjaringkan gol sendiri pada minit ke-86, sekali gus memberikan Vietnam kelebihan selesa menjelang aksi timbal balik.
Cheng Hoe turut menggesa anak buahnya agar tidak terganggu dengan rekod cemerlang Vietnam di laman sendiri, selain penonton yang dijangka memenuhi stadium, sambil menegaskan bahawa mereka perlu memanfaatkan suasana perlawanan tersebut dan kekal tenang ketika berdepan tekanan.
“Sudah tentu, Vietnam mempunyai kelebihan di laman sendiri di samping memperoleh bekalan 2-0. Namun, saya yakin pemain sudah bersedia untuk mencabar mereka malam esok,” katanya sambil mengakui rekod tanpa kalah Vietnam dalam 23 perlawanan di bawah kendalian ketua jurulatih Kim Sang Sik merupakan satu cabaran besar.
Sementara itu, pemain pertahanan kebangsaan berusia 22 tahun, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri percaya Harimau Malaya mampu bangkit dan menyeru rakan sepasukan untuk kekal optimis menjelang pertemuan penting esok.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala ASEAN adalah pada 2010, apabila bergelar juara selepas menundukkan Indonesia dalam aksi final, manakala Vietnam menjulang trofi berkenaan pada 2008, 2018 dan 2024.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, juara tujuh kali Thailand menumpaskan juara empat kali Singapura 3-1 di Stadium Jalan Besar Sabtu lepas, dengan perlawanan timbal balik dijadualkan malam ini di Stadium Rajamangala, Bangkok. – BERNAMA






