KUALA LUMPUR: HRD Corp telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM2.62 bilion bagi aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran pada tahun 2025, mencatatkan pertumbuhan 32% berbanding 2024.
Menurut kenyataan HRD Corp , terdapat lebih 2.8 juta tempat latihan bagi program dan skim yang ditadbir oleh HRD Corp direkodkan pada tahun 2025 menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 3% berbanding 2024.
“Sektor yang merekodkan jumlah tempat latihan tertinggi ialah sektor pembuatan dengan lebih 795,000 tempat latihan pada tahun 2025.
“Ia merupakan sektor kedua terbesar dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyumbang antara 23 hingga 25% daripada KDNK negara.
“Sehingga November 2025, terdapat seramai 2.4 juta pekerja direkodkan dalam sektor terbabit merangkumi segmen produk elektrik dan elektronik, produk makanan dan minuman, serta produk petroleum dan kimia,” kata kenyataan itu.
Ujarnya lagi, purata gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1% tahun ke tahun setakat November 2025.
Katanya, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memacu ekonomi digital Malaysia menyumbang 23.4% kepada KDNK pada tahun 2024 dan dijangka meningkat kepada 25% pada tahun 2025.
“Jumlah bantuan kewangan yang diluluskan oleh HRD Corp di bawah IR4.0 mencecah RM130 juta dan lebih 103,000 tempat latihan direkodkan merangkumi keseluruhan sektor ekonomi digital serta ICT.
“Ia menunjukkan pembangunan kemahiran semakin menjadi faktor penting kepada daya tahan tenaga kerja dan daya saing perniagaan.
“Ketika industri menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat, saluran bakat semakin ketat serta keperluan pekerjaan sentiasa berkembang, HRD Corp menumpukan kepada hasil praktikal untuk majikan, mudah diakses oleh komuniti dan selaras dengan hala tuju masa depan pembangunan tenaga kerja di Malaysia serta rantau ASEAN,” jelas kenyataan itu.
Di samping keutamaan latihan dipimpin oleh majikan, katanya, HRD Corp mengekalkan fokus yang kukuh terhadap akses inklusif kepada pembangunan kemahiran melalui inisiatif yang disasarkan.
Sebanyak 18,137 rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan kemahiran tersebut melibatkan gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp.
