
IPOH: Seekor anak gajah jantan ditemukan mati akibat dilanggar sebuah lori keontena di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata, mereka menerima laporan mengenai kejadian menimpa anak gajah berusia kira-kira lima tahun yang dianggarkan seberat 700 kilogram itu pada 3.30 pagi.
“Anggota Perhilitan dikerah ke lokasi kejadian dan bangkai anak gajah yang mati itu, kita akan lupus (tanam),” katanya.
Terdahulu tular gambar dan video dalam media sosial seekor anak gajah yang dilanggar, terperosok di bawah sebuah lori kontena, dan seekor gajah dewasa dipercayai ibunya cuba mengalihkan lori tersebut bagi menyelamatkan anaknya.
Yusoff berkata ibu gajah itu juga sudah diselamatkan anggota Perhilitan dan akan dilepaskan semula habitat semula jadi yang sesuai dan selamat.





