KUALA LUMPUR: Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) menerima sumbangan berjumlah RM1 juta daripada seorang penderma yang enggan mendedahkan identiti bagi menubuhkan Tabung Legasi Komuniti Tunku.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara, penderma berkenaan yang lahir pada era 1940-an dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal di Pahang, melalui kehidupan serba kekurangan ketika menuntut, termasuk tidur di lantai kedai serta berkongsi bilik penginapan.
Berkat bantuan masyarakat, beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM) sebelum berkhidmat sebagai penjawat awam.
“Tidak pernah melupakan jasa mereka yang pernah membantunya, beliau mewasiatkan sumbangan RM1 juta kepada YTAR sebelum meninggal dunia.
“Beliau mahu sumbangan itu digunakan untuk menyokong dan membantu anak muda berpotensi yang berdepan kekangan kewangan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Dana tersebut membolehkan YTAR menaja tujuh biasiswa pada tahun ini kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Antara penerima ialah Muhammad Ariff Shuqran Ismail dari Perlis yang kembali menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) selepas hampir enam tahun menangguhkannya, serta Chew Cai San, pelajar Orang Asli dalam bidang perguruan bimbingan dan kaunseling di IPG Tengku Ampuan Afzan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penubuhan tabung berkenaan amat signifikan kerana ia selaras dengan sambutan memperingati 35 tahun pemergian Almarhum Tunku Abdul Rahman.
“Ini merupakan penghormatan bermakna terhadap legasi Bapa Kemerdekaan yang sentiasa menjiwai semangat memberi serta kepedulian kepada rakyat,” katanya.
Pengerusi YTAR merangkap cucu kepada Tunku Abdul Rahman, Sharifah Menyalara Hussein berkata, sumbangan itu mengingatkan kepada sifat pemurah Almarhum yang terkenal dengan jiwa rakyatnya.
“Legasi penderma ini akan terus hidup melalui tujuh penerima pertama dana tersebut dan bakal memberi impak melangkaui komuniti mereka,” katanya.
Kementerian turut menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mempertimbangkan pemberian legasi bagi membantu generasi muda meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan selain tabung berkenaan dibuka untuk sumbangan sepanjang tahun.
