
KUALA LUMPUR : Syarat jaminan kewangan berjumlah RM250,000 yang dikenakan terhadap agensi pelancongan luar negara, termasuk pengendali umrah, bukan bertujuan menekan atau menghukum penggiat industri berkenaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, ketetapan tersebut diperkenalkan sebagai langkah pencegahan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat serta memastikan kepentingan pengguna dilindungi daripada unsur penipuan dan kegagalan penyampaian perkhidmatan.
Menurut beliau, peningkatan kes aduan berkaitan urusan umrah dan pelancongan luar negara menjadi faktor utama pelaksanaan syarat itu, memandangkan isu berkenaan bukan sahaja merugikan pelanggan, malah memberi kesan buruk terhadap imej industri pelancongan negara secara keseluruhan.
“Dalam isu perjalanan umrah, saya ingin menegaskan bahawa tindakan kementerian adalah untuk memulihkan keyakinan awam dan melindungi pengguna, bukan untuk menghukum perniagaan yang sah.
“Kementerian menetapkan keperluan jaminan RM250,000 dengan tempoh peralihan yang jelas sehingga 15 Mei ini bagi memberi ruang kepada pemain industri membuat penyesuaian.
“Kementerian turut berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk meneroka penggunaan jaminan insurans sebagai alternatif bagi menyokong industri, khususnya pengendali yang berdaya maju dan berintegriti,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
King Sing turut menegaskan, industri pelancongan dibina atas asas kepercayaan dan satu kes buruk sudah memadai untuk merosakkan imej keseluruhan sektor berkenaan.
“Apabila kepercayaan kukuh, pelawat akan memilih Malaysia dengan yakin, mengesyorkan negara ini kepada orang lain dan kembali semula.
“Namun, apabila kepercayaan dikhianati, kesannya dirasai oleh seluruh industri,” ujarnya.
Dalam pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan inisiatif TRUST oleh Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang selari dengan komitmen terhadap keselamatan, kualiti perkhidmatan, integriti dan perlindungan pengguna.
“Pertumbuhan industri tidak membawa makna sekiranya standard dikompromi, sambil mengingatkan pemain industri agar tidak terjebak dengan harga tidak realistik, janji melampau dan penyampaian perkhidmatan yang lemah.
“Keuntungan mesti seiring dengan tanggungjawab. Harga berpatutan, tawaran jujur dan perkhidmatan berkualiti adalah asas kepada ekosistem pelancongan yang mampan,” katanya.





