
KLANG : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan titah agar masjid dan surau di seluruh negeri ini dipelihara kesuciannya dengan memastikan ia tidak dipengaruhi atau dikuasai agenda politik kepartian.
Baginda bertitah, rumah ibadat tidak wajar dijadikan platform berpolitik apatah lagi sebagai ruang meraih sokongan, memenuhi kepentingan tertentu atau menyebarkan sentimen kebencian yang boleh menggugat perpaduan umat.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.
“Beta juga tidak mahu dengar ada dalam kalangan nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat secara langsung dalam politik kepartian.
“Ini termasuk memegang apa-apa jawatan politik dan dalam masa sama dilantik menjadi nazir dan imam masjid dan surau kerana perkara ini boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat,” titah baginda di Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 Nazir dan Imam Masjid seluruh negeri Selangor sesi 2026-2030 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Baginda juga menzahirkan ketegasan untuk tidak melayan sebarang aduan berkaitan perebutan jawatan nazir atau keanggotaan jawatankuasa masjid dan surau kerana perkara sedemikian hanya akan mencetuskan rasa tidak puas hati, menanam bibit permusuhan serta meretakkan keharmonian dalam kalangan ahli kariah khususnya dan umat Islam secara keseluruhannya.
“Jawatan berkenaan bukan satu jawatan politik untuk direbutkan bagi kepentingan peribadi, sebaliknya adalah suatu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada anda semua dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.
“Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti, akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” titah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin memandang serius budaya fitnah-memfitnah dan menyebarkan tohmahan terhadap mana-mana pihak terutama melalui media sosial kerana perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan ukhuwah serta perpaduan dalam kalangan umat Islam.
“Janganlah ada dalam kalangan anda yang gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.
“Kepada semua nazir termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau supaya jangan mudah percaya kepada penyebaran berita palsu, apatah lagi turut sama menyebarkannya tanpa usul periksa.
“Setiap maklumat hendaklah disemak dengan mendalam dan diteliti kesahihannya, kerana fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh.
“Ketahuilah bahawa Beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau di negeri ini dan Beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perlu,” titah baginda.





