
BACHOK : Jenazah adik kepada anggota bomba yang lemas dalam insiden di Pantai Kandis akhirnya ditemukan terdampar di Pantai D’Aur, lokasi sama mayat abangnya ditemui, awal pagi tadi.
Mangsa, Ahmad Nurruddin Abdul Wahab, 21, dijumpai oleh orang awam sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis sekitar jam 7.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pengecaman mayat dibuat bapa mangsa lemas.
“Mayat mangsa kedua ditemui kira-kira 3.5 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.
Mohamad Ismail berkata, mayat itu ditemukan kira-kira 200 meter daripada jarak penemuan mangsa lemas pertama iaitu abang mangsa, yang juga anggota bomba, Ahmad Badrul Abdul Wahab, 32, pada jam 12.52 tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu, kegembiraan 20 ahli keluarga dari Pasir Puteh berkelah di Pantai Kandis, bertukar tragedi apabila dua ahli keluarga mereka lemas.
Ahmad Nurruddin dikatakan terlebih dahulu lemas bersama anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, sebelum Ahmad Badrul bersama abang iparnya, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang juga bapa kanak-kanak berkenaan cuba membantu.
Mohd Ezad berjaya membawa anaknya ke daratan, namun Ahmad Badrul dan Ahmad Nurruddin didapati hilang.







