
KUALA LUMPUR: UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi meneliti dan menerima semula penyertaan individu atau en bloc ke dalam parti.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pintu UMNO sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin kembali menyertai parti.
“Kita bukan parti elit, UMNO lahir daripada keringat rakyat dan inilah juga rumah untuk kita bertaut kembali, saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah, kembalilah. Bak kata pepatah, ‘sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan’.
“UMNO ini rumah bangsa, UMNO ajar kita erti perjuangan, justeru bagi menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita, adik-beradik kita, ahli keluarga kita, jawatankuasa ini ditubuhkan,” katanya pada ucapan dasar Presiden bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2025 hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO akan melaksanakan tiga usaha pembaharuan politik merangkumi pemulihan keyakinan orang Melayu, perubahan budaya pemikiran dan cara kerja, serta penjenamaan semula melalui kerjasama politik.
Menurutnya, usaha memulihkan sokongan Melayu perlu dimulakan dengan membetulkan naratif UMNO di mata rakyat.
“Hal ini merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi membaiki persepsi, memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa,” katanya.
Bagi tujuan berkenaan, Ahmad Zahid berkata UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik kaum Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
Dalam mendepani perubahan budaya fikir dan pola bekerja, beliau berkata UMNO mesti bersedia menjadi parti yang sentiasa terbuka terhadap penyertaan dan idea baharu walaupun datangnya daripada luar kerangka parti.
Ahmad Zahid berkata realiti semasa juga menuntut UMNO melaksanakan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik, melibatkan penilaian semula kepada bentuk kerjasama politik yang sesuai termasuk mengkaji semula bentuk gabungan politik Barisan Nasional.
Presiden UMNO itu turut menggariskan tiga cabaran realiti politik yang dihadapi UMNO ketika ini, iaitu politik rentas gabungan kepartian, dinamika politik Melayu dan cabaran identiti serta krisis keyakinan.





