
KUANTAN : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menggantung sementara tugas dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terbabit dalam Ekspedisi Trans Temangkok Gunung Liang, di Tanjung Malim, Perak, minggu lalu.
Langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada siasatan menyeluruh dilakukan bersama beberapa agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34 tahun, di puncak Gunung Liang.
Menurut Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Mohd. Yussainy Md Yusop, pertemuan awal telah diadakan dengan dua MGP terbabit kelmarin, dan laporan penuh akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perhutanan untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan, semua pihak yang terlibat termasuk pendaki, penganjur serta dua MGP pengiring kumpulan sembilan pendaki itu akan dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Tindakan itu perlu bagi memastikan setiap pihak diberi peluang memberi penjelasan dan bagi mengelak sebarang prejudis terhadap mana-mana individu terbabit dalam kejadian itu.
“Jadi, kita memutuskan menggantung sementara tugas dua MGP terbabit bagi memberi kerjasama kepada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta jabatan perhutanan melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 10 Oktober lalu, Mustaqqeem dilaporkan bersama lapan rakannya memulakan pendakian ke Gunung Liang bermula di laluan Bukit Fraser, Bentong.
Bagaimanapun, dia dilaporkan tidak pulang selepas tamat aktiviti mendaki, menyebabkan isterinya melaporkan kehilangannya kepada polis.







