
KUALA LUMPUR: Kos dan kadar bayaran untuk menunaikan haji bagi musim haji 1447H/2026M kekal kepada semua kumpulan sama seperti musim haji lepas termasuk untuk kumpulan B40.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, ia sekali gus menyaksikan kos menunaikan ibadat haji bagi jemaah Muassasah tidak meningkat bagi tiga tahun berturut-turut walaupun berdepan persekitaran kos di Tanah Suci yang terus meningkat.
Beliau berkata, kadar bayaran haji bagi kumpulan B40 kekal RM15,000 selepas mendapat Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM18,300, kumpulan M40 (RM23,500) dengan bantuan sebanyak RM9,800 manakala jemaah T20 dikenakan kadar penuh RM33,300.
Katanya, bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah haji yang layak, TH bakal menanggung RM210 juta Bantuan Kewangan Haji bagi musim haji 1447H/2026M.
“TH berkeyakinan dapat terus memberikan tahap perkhidmatan yang cemerlang. Kami berbangga dengan pencapaian anugerah “Diamond Award” Labaytum pada musim lepas turut mengharumkan nama Malaysia dan kami akan berusaha untuk terus mengekalkan tahap perkhidmatan tinggi yang sentiasa diharapkan.
“Bagi musim haji 1447H/2026M, kami telah membuat persediaan untuk menetapkan Kos dan Bayaran Haji lebih awal. Kami ingin mengucapkan terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan beliau terhadap usaha dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mengekalkan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah B40,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pihaknya dapat mengekalkan kos haji melalui langkah strategik melibatkan tempahan awal dan kontrak penyewaan jangka panjang bangunan penginapan untuk melindungi jemaah haji daripada kesan inflasi di Makkah dan Madinah.
“Beberapa bangunan penginapan baharu dengan kemudahan moden telah dikenal pasti untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji. TH juga telah memeterai kontrak penerbangan selama lima tahun bagi mengawal daripada ketidaktentuan harga,” katanya.
Sejak Bantuan Kewangan Haji diperkenalkan pada 2001, jumlah terkumpul yang ditanggung TH mencecah lebih RM2.72 bilion dalam tempoh 25 tahun.
Sementara itu, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1447H/2026M akan dikeluarkan secara berperingkat bermula Jumaat ini.




