KUALA LUMPUR : Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) komited dalam memperkukuh sistem perburuhan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik dan berimpak tinggi.
Menurut kenyataan media JTKSM, beberapa inisiatif tersebut adalah bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperluas akses keadilan perburuhan dan menjamin kesejahteraan pekerja serta keharmonian hubungan perusahaan.
“Antara inisiatif utama adalah Mobile Labour Court yang merupakan pendekatan baharu dianggap game changer dalam memperluas akses perkhidmatan Mahkamah Buruh khususnya kepada pekerja dan majikan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun 2026 melalui peruntukan RM5 juta di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam Belanjawan 2026.
“Pendekatan bergerak ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos malah memastikan keadilan perburuhan dapat diakses secara lebih saksama,” kata kenyataan itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja ke JTKSM, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah timbalannya, Datuk Khairil Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi.
Dalam pada itu, JTKSM menambah pemerkasaan Mahkamah Buruh turut dilaksanakan melalui Sistem Perekodan Digital (SPD) membabitkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.
Katanya, sistem tersebut akan dipasang di enam Mahkamah Buruh sekali gus mempercepatkan prosiding, meningkatkan ketelusan dan memastikan pengurusan rekod kes yang lebih sistematik dan efisien.
“Sebelum ini, sistem berkenaan sudah dipasang di 12 Mahkamah Buruh sejak 2024 dan tahun ini ia akan dilaksanakan di enam lagi fasiliti di Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu,” ujarnya.
Dalam masa sama, JTKSM menjelaskan, pembangunan Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu (SPPB) akan menggantikan kaedah perekodan data yang telah berusia lebih dua dekad.
“Sistem ini memanfaatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), analisis data raya, cloud computing dan AI chatbot dengan peruntukan RM9.26 juta bagi tempoh 36 bulan sekali gus menyokong kecekapan operasi serta ease of doing business,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, JTKSM berkata, aspek pendidikan turut diberi penekanan melalui Program Pendidikan Perburuhan yang menyaksikan pelaksanaan 222 program sepanjang 2025 melibatkan hampir 46,000 peserta.
Katanya, program anjuran Jabatan Tenaga Kerja tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman berkaitan hak, tanggungjawab dan pematuhan undang-undang perburuhan.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif-inisiatif strategik berkenaan mencerminkan komitmen berterusan JTKSM dalam memperkukuh sistem perburuhan negara yang moden, cekap dan berorientasikan rakyat.
