KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menerima sebanyak 332 permohonan bagi aktiviti mendulang emas setakat ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 178 pemohon sudah membuat pembayaran manakala selebihnya masih dalam proses penelitian.
Katanya, lesen kelulusan untuk aktiviti tersebut akan mula dikeluarkan mulai Rabu depan dan pemohon yang berjaya dibenarkan menjalankan aktiviti mendulang emas di lokasi sungai yang telah diwartakan.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap aktiviti mendulang emas ini amat menggalakkan dengan 332 permohonan diterima bagi fasa pertama.
“Memandangkan aktiviti ini boleh dimulakan minggu depan, kerajaan negeri kini dalam proses mewartakan empat sungai yang dibenarkan untuk tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.
Beliau berkata, empat sungai yang diwartakan ialah Sungai Tadoh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentian di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang serta Sungai Bertam di Tanah Merah.
Menurutnya, hanya Sungai Tadoh dibenarkan aktiviti mendulang sepanjang empat kilometer (km), manakala tiga sungai lain dihadkan kepada dua kilometer sahaja.
Dr. Mohamed Fadzli berkata, sekiranya fasa pertama berjalan lancar dengan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan serta sambutan terus menggalakkan, kerajaan negeri akan mempertimbangkan peluasan kawasan mendulang pada masa hadapan.
“Sehubungan itu, kita berharap semua pendulang mematuhi peraturan yang ditetapkan. Mana-mana individu yang menjalankan aktiviti mendulang tanpa lesen bermula Rabu depan akan dikenakan tindakan tegas.
“Pihak penguat kuasa juga akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan yang telah diwartakan,” katanya.
