
GEORGE TOWN – Kenderaan bernombor plat asing kekal tidak dibenarkan membeli petrol RON95, sebaliknya hanya boleh mendapatkan RON97 sebagaimana ketetapan sedia ada.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, subsidi harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter hanya layak dinikmati rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah.
“Selain itu, warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan nanti.
“Namun, bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada,”katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia 13 (RMK 13) Zon Utara.
Tambah beliau, tidak timbul isu kekurangan bekalan walaupun kelonggaran pembelian tanpa subsidi diberikan kepada warga asing.
“Tiada masalah dari segi logistik atau bekalan kerana kereta plat asing tetap tidak dibenarkan membeli RON95, walaupun harga diapungkan.
“Mereka hanya boleh membeli RON97 yang kekal dalam sistem harga terapung (free float),” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan.





