
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi penjelasan terperinci berhubung lanjutan tempoh perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak tiga kali bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif terhadap kebebasan dan ketelusan institusi berkenaan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, lanjutan kontrak individu yang sama secara berulang kali boleh memberi gambaran seolah-olah SPRM ketandusan pelapis berwibawa atau wujud campur tangan pihak tertentu dalam urusan pelantikan jawatan tertinggi agensi itu.
Katanya, proses pelantikan yang lebih telus dan terbuka wajar dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen.
“Langkah ini penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan SPRM terus terpelihara,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.
Pada Mei lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan semula Azam bagi meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selama setahun.
Azam yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dilantik mengetuai agensi antirasuah itu pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kontrak beliau kemudiannya disambung sebanyak dua kali, masing-masing selama setahun pada 10 Mei 2023 dan setahun lagi pada tahun lalu.
Pada akhir 2021, Azam menjadi tumpuan susulan dakwaan berkaitan pemilikan saham dan waran. Bagaimanapun, beliau menafikan sebarang salah laku meskipun beberapa pertubuhan pemantau serta pemimpin PH menggesa siasatan dijalankan.
Pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah memaklumkan pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam mengenai beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham berkenaan kerana akaunnya digunakan oleh adiknya, Nasir, untuk urusan pembelian saham tersebut.





