KUCHING: Kerajaan sedang mengkaji kaedah penyaluran bantuan pendidikan khusus untuk pelajar sekolah menengah di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu termasuk pelaksanaan dalam bentuk sokongan kewangan berstruktur sebagai persediaan ke peringkat pendidikan lebih tinggi.
Beliau berkata, bantuan berkenaan yang menyasarkan pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar, masih dalam peringkat perbincangan dan dijangka dilaksanakan tahun ini.
“Bantuan untuk pelajar sekolah menengah sedang diperhalusi termasuk kemungkinan disalurkan dalam bentuk barangan atau tabungan pendidikan. Perinciannya akan dimuktamadkan kemudian.
“Kita akan mengenal pasti mekanisme pelaksanaannya dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar khususnya dalam kalangan golongan memerlukan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya, hari ini.
Mustapha berkata bagi tujuan itu, kerajaan turut mempertimbangkan kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mewujudkan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk pelajar sekolah menengah yang terlibat.
Katanya, pendekatan berkenaan bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan awal untuk melanjutkan pengajian ke universiti atau ke peringkat pendidikan lebih tinggi.
