
SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan melaksanakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu aktiviti penternakan babi ditamatkan sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya komited melaksanakan titah berkenaan dengan sebaik mungkin demi menyelesaikan polemik yang berlarutan sejak sekian lama.
“Sultan Selangor sudah mengeluarkan titah semalam dan kerajaan negeri akan melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya kepada media selepas menghadiri satu majlis di sini.
Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah supaya isu penternakan babi di Selangor ditamatkan sepenuhnya dengan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar serta komposisi demografi penduduk negeri itu.
Baginda turut mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian lesen mengimport daging babi bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor.
Titah tersebut dizahirkan susulan kebimbangan terhadap kemungkinan pencemaran kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk Lembah Klang.
Menurut baginda, kelangsungan operasi ladang ternakan babi dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti alam sekitar sekiranya tidak dikawal secara menyeluruh.
Sebelum ini, campur tangan Sultan Selangor turut menyaksikan kerajaan negeri membatalkan cadangan untuk memusatkan industri penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Mengulas lanjut berhubung kebimbangan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey berkaitan perkara tersebut, Amirudin berkata isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti semua aspek termasuk kebajikan rakyat, kepentingan alam sekitar serta keharmonian masyarakat sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.





