
SHAH ALAM: Kerajaan memutuskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tidak digantung tugas sementara jawatankuasa khas menyiasat isu berkaitannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut prosedur sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Keputusan kita tadi, Ketua Setiausaha Negara (KSN) beri maklumat awal, biar dia tubuh jawatankuasa khas dan tengok kes untuk diteliti bersama Peguam Negara. Ikut proses biasa dahulu. Kita telus,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pusat Islam, Politeknik Shah Alam, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan mahu siasatan dijalankan secara telus bagi memastikan sama ada benar wujud sebarang isu.
Beliau turut menegaskan tiada arahan supaya Azam Baki berehat sepanjang tempoh siasatan dan proses itu tidak seharusnya menjejaskan peranan SPRM dalam membanteras rasuah.
“Saya tidak mahu ini mengganggu peranan SPRM keseluruhannya kerana ada usaha untuk mengekang, terutama apabila mereka lebih tegas dan keras mengambil tindakan terhadap rasuah. Ada pihak berkepentingan cuba melindungi perasuah-perasuah ini,” katanya.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam mempunyai pegangan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Bagaimanapun, Azam memaklumkan beliau tidak lagi memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu.
Azam juga dilaporkan bakal mengemukakan surat tuntutan kepada sebuah media susulan laporan berita berhubung pemilikan saham membabitkannya.





