
PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan memaklumkan pihaknya kini mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan Malaysia berhubung keputusan kerajaan membekukan sementara sebahagian dana perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya sudah dimaklumkan supaya satu sesi libat urus diadakan bagi meneliti implikasi keputusan tersebut, khususnya terhadap aspek kritikal pertahanan negara.
“Perkara ini masih dalam rundingan. Keutamaan kita adalah memastikan operasi serta tahap siap siaga ATM tidak terjejas akibat keputusan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah di Menara Prasarana, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan pembekuan sementara semua kelulusan kontrak perolehan ketenteraan yang sedang berkuat kuasa.
Mohamed Khaled berkata, walaupun terdapat pembekuan terhadap sebahagian dana, operasi harian ATM setakat ini berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
“Setakat ini, pelaksanaan operasi tidak terjejas. Soal kesiapsiagaan pertahanan negara akan terus kita pelihara dan utamakan,” katanya.
Pembekuan itu dilaksanakan bulan lalu susulan siasatan terhadap dakwaan rasuah serta salah guna kuasa yang membabitkan beberapa pegawai kanan ATM.
Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan supaya semua kelulusan kontrak perolehan pertahanan dihentikan sementara sehingga proses semakan menyeluruh dilaksanakan.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan mencampuri urusan siasatan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya memberi ruang kepada agensi berkenaan menjalankan tugas secara bebas dan profesional.
Kerajaan komited memastikan tindakan tegas serta komprehensif diambil bagi menjamin integriti sistem perolehan pertahanan negara terus terpelihara.






