
JOHOR BAHRU: Kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan siasatan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah memberikan maklum balas berhubung isu itu melalui keputusan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan.
“Kami (Jemaah Menteri) serahkan kepada jawatankuasa untuk lakukan siasatan penuh. Tan Sri Azam juga sangat terbuka dan sedia untuk disiasat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Ramadan 2026 Edisi Ke-14 di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Sementara itu berhubung satu himpunan berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dihadiri Datuk Seri Rafizi Ramli, Fahmi berkata, bekas timbalan presiden PKR itu mempunyai hak untuk berhimpun.
“Beliau (Rafizi) ada hak untuk melaksanakan apa-apa yang dia rasa dia nak lakukan. Di bawah Perlembagaan, memang rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun.
“Semalam, kita dengar Ketua Polis Kuala Lumpur mengatakan dalam 150 hingga 200 orang yang hadir dan tidak berlaku apa-apa insiden yang mencemaskan ataupun mengganggu keselamatan,” katanya.
Ditanya sama ada Rafizi boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh parti, beliau menyerahkan apa-apa keputusan kepada parti sekiranya wujud aduan terhadap Rafizi.
“Setakat ini, Setiausaha Agung belum memaklumkan telah menerima sebarang aduan, tetapi mereka yang berkumpul ada hak, tidak menjadi masalah di sisi undang-undang,” katanya.





