
JOHOR BAHRU: Polis masih menunggu arahan dan keputusan rasmi daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendakwa suspek kes pembunuhan pelajar tingkatan empat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk ke pejabat berkenaan pada 9 Oktober lepas bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata setakat ini, kertas siasatan masih berada pada peringkat kajian memandangkan suspek yang ditahan seorang pesalah juvana.
“Suspek kes ini seorang pesalah juvana dan perkara ini perlu diberi pertimbangan yang lebih teliti oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata tempoh tahanan reman terhadap suspek masih berjalan sehingga Jumaat ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar arahan atau keputusan rasmi daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dapat diterima sebelum tempoh reman suspek berakhir.
Polis sebelum ini percaya perasaan dendam termasuk berkaitan penolakan cinta antara motif pembunuhan pelajar berusia 16 tahun itu.
Pada 3 Oktober lepas, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, kira-kira 5 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, suspek lelaki berusia 16 tahun ditahan reman selama enam hari pada 4 Oktober lepas bagi membantu siasatan dan disambung enam hari lagi sehingga Jumaat ini. – BERNAMA





