PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapati ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, bersalah bagi pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh ketika membacakan keputusan pagi tadi memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30, melampaui keraguan munasabah.
Dengan keputusan itu, Ismanira berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Prosiding diteruskan dengan hujahan mitigasi oleh peguam bela tertuduh serta hujahan pemberatan oleh pihak pendakwaan sebelum hukuman dijatuhkan.
Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, sebelum ini didakwa bagi pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan PJU Damansara Damai antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023, tarikh Zayn dilaporkan hilang hingga k9.55 malam keesokan harinya apabila mayat kanak-kanak itu ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Pada Julai lalu, Zaim dibebaskan selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Kes berprofil tinggi itu menarik perhatian umum sejak Disember tahun lalu susulan kehilangan Zayn yang kemudiannya ditemui meninggal dunia dalam keadaan tragik.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh, H. Lavanesh dan Ramzani Idris.
