
KUALA LUMPUR: Melalui model pembinaan perumahan swasta Bina Kemudian Jual (BKJ), pemaju hanya dibenarkan mengenakan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus, manakala baki 90 peratus pula hanya boleh dituntut selepas projek kediaman disiapkan sepenuhnya.
Bayaran penuh hanya boleh dibuat setelah pemaju memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta menyerahkan Pemilikan Kosong (VP) kepada pembeli.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan model BKJ ini tertakluk di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118], yang memperuntukkan Jadual I dan Jadual J sebagai format rasmi perjanjian jual beli bagi projek perumahan di bawah sistem BKJ 10:90.
“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa pemajuan projek perumahan dengan konsep BKJ ini memerlukan pemaju mempunyai keupayaan kewangan yang sangat kukuh bagi melaksanakan projek.
“Justeru, pada masa ini kerajaan hanya menggalakkan pemaju yang bersedia sahaja untuk melaksanakan konsep BKJ secara sukarela, kerana risikonya boleh menyusahkan pembeli dan pihak lain yang terbabit,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Pang Hok Liong (PH-LABIS) berhubung kesediaan kerajaan mewajibkan skim BKJ di seluruh negara dalam usaha mengurangkan projek perumahan terbengkalai.
Di bawah model ini, pembeli tidak lagi berdepan risiko projek terbengkalai atau kelewatan pembinaan, kerana pembayaran penuh hanya dibuat setelah kediaman siap sepenuhnya.
Pendekatan ini berbeza daripada konsep tradisional ‘jual dahulu, bina kemudian’, yang selama ini diamalkan secara meluas dan sering mendedahkan pembeli kepada ketidakpastian pelaksanaan projek.
Sementara itu, Nga Kor Ming ketika menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN–Kuantan) berhubung kemungkinan mewajibkan pelaksanaan kaedah Bina Kemudian Jual (BKJ), menjelaskan bahawa langkah tersebut belum dapat dilaksanakan kerana beberapa kekangan utama.
“Mengikut pemetaan oleh Jabatan Perumahan Negara, jika kerajaan wajibkan BKJ, pertama, semua syarikat PKS (kecil dan sederhana) tidak akan mampu bersaing.
“Kedua, bandar seperti Kuantan takkan ada projek rumah baru, ini kerana syarikat pemaju kalau nak cari lokasi untuk bina, akan cari tempat senang jual seperti Petaling Jaya, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Mereka takkan ambil risiko untuk bina, seperkara lagi, jika laksanakan secara paksa, mengikut pemetaan Jabatan Perumahan Negara, rantaian industri perumahan akan terbantut,” katanya.





