
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membangunkan program menyeluruh bagi mewujudkan sebuah platform latihan baharu yang diluluskan pakar industri selain boleh diakses semua lapisan masyarakat.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program itu akan menghimpunkan kursus kemahiran terbaik daripada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa.
“Program pendidikan untuk pekerja kita mesti mempunyai komponen seperti pembelajaran di tempat kerja, pembelajaran melalui amalan dan pembelajaran berterusan.
“Ia juga mesti tangkas dan fleksibel selain dapat menyesuaikan diri dengan perubahan industri yang pesat, ia perlu dilakukan dengan pantas.
“Revolusi Industri (IR) 4.0 seharusnya menjadi revolusi TVET kerana ia berkisar tentang kemahiran,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025: Global Skills Forum (GSF) di sini, hari ini.

Terdahulu, AYOS 2025 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Steven berkata, di Malaysia, kerajaan menyepadukan usaha peningkatan dan penyesuaian kemahiran dalam pasaran buruh menerusi sistem HRD Corp menyaksikan majikan menyumbang levi satu peratus daripada jumlah gaji pekerja, dana yang boleh digunakan untuk melatih dan menaik taraf kemahiran pekerja mereka sendiri.
“Dalam tempoh tiga tahun lepas, daripada jumlah kutipan levi sebanyak RM6.17 bilion, sebanyak RM5.77 bilion (hampir 94 peratus) dibelanjakan bagi melatih kira-kira empat juta pekerja,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2023, KESUMA sudah menganjurkan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti kursus kemahiran secara percuma selama seminggu, merangkumi pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan, pengaturcaraan komputer, ucapan awam, kemahiran digital dan kesihatan mental.
“Pada tahun pertama pelaksanaannya, NTW berjaya menjangkau 130,000 rakyat Malaysia dan pada tahun berikutnya, penyertaan meningkat kepada hampir 400,000 orang.
“Tahun ini, NTW 2025 mencatat hampir empat juta penyertaan hanya dalam masa seminggu, disokong oleh 1,556 penyedia latihan yang menawarkan sejumlah 73,231 kursus percuma.
“Kami berbangga untuk berkongsi bahawa Indonesia, Myanmar dan Timor-Leste kini mengadaptasi konsep NTW ini, kerana mengiktiraf potensinya dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja dan latihan kemahiran di negara masing-masing,” katanya.





