
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar arahan pihak berkuasa berhubung penganjuran perhimpunan awam semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah menerima maklumat awal mengenai kemungkinan terdapat percubaan untuk menganjurkan acara atau perhimpunan tertentu ketika sidang itu berlangsung.
“Saya menegaskan jangan ganggu acara, jangan adakan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu perjalanan acara, termasuk menghalang laluan.
“Paling penting, jangan cetuskan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini
Fadil turut menegaskan bahawa pihak polis bersiap siaga sepenuhnya dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana tindakan yang boleh menjejaskan kelancaran persidangan bertaraf antarabangsa itu.
Beliau berharap Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar hasil kerjasama masyarakat.
“Kita bersama agensi-agensi lain akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ini berlangsung,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seramai 10,212 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama dari Kontinjen Kuala Lumpur, Kontinjen Selangor, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dibantu kontinjen-kontinjen lain akan terlibat dalam mengawasi perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.





