
KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memudahkan proses memperoleh pensijilan halal di Malaysia.
Beliau berkata, langkah tersebut wajar diambil susulan maklum balas daripada para usahawan, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang berdepan pelbagai cabaran ketika melalui prosedur permohonan pensijilan halal.
“Kita mahu memperkuat aspek pensijilan halal kerana ramai usahawan memaklumkan agak sukar untuk mendapatkannya.
“Kebetulan saya juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal negara dan kita akan bawa perkara ini ke mesyuarat.
Ini bagi memastikan usaha dilaksanakan agensi atau kementerian berbeza mempunyai matlamat sama iaitu mempermudah, bukan menyusahkan ke arah mendapatkan pensijilan halal,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan serta PMKS Kebangsaan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelantikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan negara bertujuan menjadi pengantara bagi majlis berkenaan dengan Exco keusahawan di peringkat kerajaan negeri.
“Pelantikan Wan Rosdy adalah selaras tugas Ewon yang memiliki lebih 10 agensi untuk melakukan penyelarasan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi juga kerajaan negeri.
“Beliau bertanggungjawab memperkasa pembangunan dalam bidang keusahawanan kerana 71 peratus daripada 1.089 juta rakyat terbabit dalam bidang keusahawanan mikro.
“Mereka perlu dinaik taraf menjadi usahawan kecil supaya pengeluaran dan perkhidmatan mereka mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai eksport.
“Sektor ini menyumbang RM636 bilion dari segi jumlah eksport dan tidak mustahil untuk kita pertingkatkan jumlah ini,” katanya.






