
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pemberian kemudahan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal kepada semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di sekitar Lembah Klang sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
KPT memaklumkan bahawa kemudahan itu diberikan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, sebagai langkah proaktif susulan penutupan jalan semasa tempoh persidangan yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menurut KPT, langkah itu bagi menentukan keperluan PdP secara dalam talian untuk memastikan warga IPT tidak terkesan dengan penutupan jalan berkenaan.
“Kemudahan yang diberikan ini bagi memastikan kesejahteraan warga IPT dan membolehkan mereka merancang pergerakan masing-masing sekali gus memastikan proses PdP berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu.
KPT turut menasihati para pelajar dan warga IPT yang terkesan menghubungi pihak IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan PdP sepanjang tempoh tersebut.
Terdahulu media melaporkan, enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Laluan berkenaan termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.
Jalan lain terlibat ialah Lebuh KLIA, Lingkaran Putrajaya, dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.






