
LAHAD DATU: Kementerian Pertahanan komited memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara di Sabah melalui pelaksanaan Pelan Angkatan Masa Hadapan, yang akan digerakkan dalam tempoh lima tahun bermula tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata antara inisiatif utama dalam pelan tersebut ialah penambahan jumlah batalion bagi dua briged sedia ada di negeri itu serta penubuhan sebuah rejimen artileri baharu bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan di kawasan berkenaan.
“Biasanya satu briged mempunyai tiga batalion, namun bagi Sabah, dua briged sedia ada akan ditambah satu batalion lagi menjadikan setiap briged mempunyai empat batalion. Ini bermakna dua batalion dari Semenanjung akan dipindahkan ke Sabah.
“Kita juga akan menubuhkan satu rejimen artileri 155mm memandangkan ketika ini hanya terdapat rejimen 105mm di Sabah. Selain itu, jumlah radar persisiran pantai akan ditambah kepada empat unit berbanding dua sebelum ini, dengan dua daripadanya akan ditempatkan di kawasan Ops Pasir termasuk di Lahad Datu,” katanya selepas meninjau Pos Tanduo di sini pada Isnin.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan memberi tumpuan besar terhadap aspek keselamatan di wilayah Sabah, termasuk memperkukuh keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kita sedang dalam proses memperoleh pangkalan bergerak di Semporna bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang kini bersifat statik dan dijangka tamat tempoh penggunaan tahun depan. Selain itu, kita juga sedang melaksanakan perolehan kapal serta pesawat baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan, kementerian memberi tumpuan terhadap pemanfaatan teknologi pertahanan berteknologi tinggi dalam operasi ketenteraan, khususnya di empat sektor Ops Pasir termasuk Lahad Datu, yang meliputi kawasan tanggungjawab amat luas dan mencabar.
“Antaranya penggunaan dron serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantapkan operasi dan memudahkan tugasan anggota tentera di lapangan. Pihak kementerian akan terus memperincikan perancangan ini,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan Sabah yang mencatatkan kehadiran kira-kira 1.7 juta pelancong tahun ini.
“Kehadiran Ops Pasir dengan sektor tanggungjawab yang terancang memastikan ekonomi Sabah kekal stabil. Tanpa operasi seperti ini, mungkin wujud risiko penyeludupan atau ancaman keselamatan. Namun hari ini, keadaan di Sabah tenang dan terkawal,” katanya.







